Wednesday, August 23, 2017

PALANG PUSH UP (Push-Up Bar)

Review PALANG PUSH UP (Push Up Bar) dari Lazada.

Minggu lalu, saya telah membeli sepasang Palang Push Up (juga dikenali sebagai Push Up Handle/Stand). Seperti biasa, saya sedang shopping di laman Lazada apabila alat senaman ini dicadangkan secara automatik oleh laman Lazada. Mungkin algoritma Lazada sudah biasa dengan kategori produk yang saya gemar. Apapun sebabnya, saya membuat sedikit kajian tentang palang push up dan mendapati ada beberapa jenis model. Ada model jenis bentuk S, bentuk H dan bentuk bulat yang boleh berputar. Saya memilih model bentuk H dari jenama OEM. 

Fungsi utama palang push-up ialah mengorientasikan pergelangan tangan pada sudut yang lebih tegak dan lebih selesa. Ini membolehkan push-up dilakukan dengan mudah kerana anda tidak perlu mengalami tekanan pada pergelangan tangan.

Push-up adalah salah satu senaman yang paling asas. Gerakan push-up mengerjakan semua otot di bahagian atas badan dan membina kekuatan optimum di lengan, bahu dan dada. Ia juga membina teras tubuh yang kuat dengan menstabilkan otot abdomen dan bahagian belakang. Senaman push up akan meningkatkan kadar metabolisme anda dan ini bermakna anda akan membakar lebih banyak kalori.

Apabila anda melakukan push-up di atas lantai, gerakan tubuh dibatasi oleh lantai. Palang push-up membolehkan tubuh anda turun lebih dalam. Tambahan jarak gerakan ini akan menggandakan kekuatan dan fleksibiliti. Palang push up juga akan membentangkan dada sedikit dan merangsangkan penguncupan otot dada yang panjang dan lebih berkuasa. Jika anda mahu jimat duit, manfaat yang sama juga boleh diperoleh dengan melakukan push-up pada dua timbunan buku yang sama tinggi. Selain itu, palang push up juga akan memudahkan senaman hand-stand. 

Palang push up juga mengurangkan tekanan pada pergelangan tangan. Tekanan akan dikurangkan dengan ketara kerana pergelangan tangan tidak diregangkan dengan banyak berbanding dengan push-up di atas lantai. Ramai orang membeli produk ini untuk menangani masalah ini sahaja. Jika anda mengalami kesakitan pergelangan tangan semasa buat push-up, palang push up adalah satu kemestian.

Harga: $29.90 (dari Lazada)