Monday, August 28, 2017

Hubungan Seks Sedarah di Iceland

By Araujojoan96 - Own work, CC BY-SA 3.0, Link
Masalah Sumbang Mahram di Iceland

Anda mungkin tidak tahu bahawa hubungan seks sedarah merupakan suatu isu serius di negara Iceland. Hubungan seks sedarah juga dikenali sebagai 'incest' atau sumbang mahram adalah aktiviti persetubuhan antara ahli keluarga dekat. Hubungan seksual ini bukan sahaja memualkan malahan melanggar adat, hukum dan ugama. Definisi 'ahli keluarga dekat' yang pantang terjalin hubungan seks berbeza mengikut ugama dan budaya sesuatu bangsa. Misalnya ada bangsa yang mengharamkan persetubuhan antara saudara sepupu tetapi wujud juga bangsa di dunia ini yang menghalalkan abang adik berkongsi seorang isteri. Maklumlah lain bangsa, lain ugama maka lainlah adat dan hukumnya.

Jadi apa ceritanya di Iceland ini? Pertama sekali, anda perlulah sedar yang Iceland adalah sebuah pulau yang amat terpencil. Ia terasing jauh dari benua amerika dan eropah. Kedudukannya sangat ke utara, mencecah bulatan artik. Maka pulau ini bukan sahaja terpencil tetapi juga beriklim sejuk sepanjang tahun. Namanya 'Iceland' bermakna daratan ais. Semua ini menyebabkan Iceland kurang sesuai untuk pendudukan manusia. Mengikut kajian antropologi, Iceland cuma didiami manusia mulai abad ke-9. Peneroka awal merupakan segolongan Viking yang melarikan diri dari konflik di Norway. Populasi awal ini dianggarkan berjumlah 30,000 orang sahaja. Ini kurang daripada penduduk di satu taman perumahan di Johor Bahru.

Disebabkan faktor lokasi dan iklim, imigresen ke pulau terpencil ini boleh diabaikan semenjak abad ke-9 itu. Jadi keseluruhan penduduk Iceland kini adalah keturunan dari 30,000 peneroka tersebut. 'Gene pool' yang terhad memaksa masyarakat Iceland untuk 'berbiak dalaman' dengan pengaruh genetik luaran yang terhad. Dan begitulah keadaannya dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Akibatnya, setiap penduduk Iceland yang masih hidup kini mempunyai hubungan kekeluargaan yang agak dekat sesama sendiri. Jika dua orang Iceland yang saling tidak berkenalan dipilih secara rawak, kemungkinan besar mereka mempunyai moyang (great-grandparent) yang sama atau sekurang-kurangnya mempunyai buyut (great-great-grandparent) yang sama.
By sharayah Sherry from Boise, United States - The love of my life, CC BY 2.0, Link
Keadaan unik ini menyebabkan rakyat Iceland sukar mencari pasangan hidup. Sama ada berpacaran 'dating' mahupun bernikah, orang Iceland terpaksa menangani risiko terpilih seseorang yang bersaudara dengannya. Gejala ini begitu meluas sehinggakan masyarakat Iceland gemar berjenaka yang mereka mungkin bersetubuh dengan saudara pupu secara tidak sengaja walaupun saling tidak berkenalan. Ini bukan setakat gurauan, memang selalu berlaku hubungan seks secara tidak sengaja antara tiga-pupu (third cousin), dua-pupu (second cousin) dan malahan sepupu (first cousin).

Anda mungkin tersoal-soal bagaimana dua orang sepupu boleh saling tidak berkenalan? Kalau tiga-pupu atau dua-pupu bolehlah difahami. Jawabnya ialah faktor kepadatan penduduk yang rendah. Jumlah rakyat negara Iceland kini adalah lebih kurang 350,000 orang sahaja, lebih kurang sama dengan bilangan penduduk bandar Kuala Terengganu. Saiz negara Iceland pula menghampiri saiz Semenanjung Malaysia. Jadi bayangkanlah keseluruhan Semenanjung Malaysia cuma didiami oleh orang Kuala Terengganu sahaja. Tentunya penduduk terasing jauh dari satu sama lain. Maka, ramai penduduk Iceland tidak menjalin hubungan sosial dengan saudara mereka. Malahan terdapat ibu/ayah saudara yang tidak pernah bertemu anak saudara sendiri.

Kepadatan penduduk cuma agak tinggi di bandar-bandar utama seperti Reykjavik. Di sinilah remaja-remaja dari luar bandar akan bermastautin kerana tarikan peluang pekerjaan. Dan disinilah juga mereka akan berpacaran 'dating', jatuh cinta dan menjalinkan hubungan seks dengan saudara sendiri. Ini mendatangkan perasaan jijik dan malu bagi kedua-dua pihak apabila kebenaran terdedah. Jika tidak sempat tersedar, mereka mungkin bernikah dan anak yang dilahirkan akan berisiko kecacatan genetik yang lebih tinggi dari biasa. Perlulah didifahami bahawa pihak yang terlibat tidak berniat mengadakan hubungan seks sedarah, cuma akibat kejahilan sahaja.



Pihak berkuasa Iceland menyedari akan masalah ini. Pada hujung abad ke-20, mereka telah melancarkan satu kajian genealogi untuk seluruh rakyat Iceland selaras dengan satu banci yang menyeluruh. Matlamat kajian salasilah keluarga ini adalah untuk menjejak susur galur keturunan setiap penduduk Iceland dalam 300 tahun terdekat. Hasilnya ialah suatu database online yang dikenali sebagai 'Islendingabook' ataupun Buku Iceland. Database ini boleh digunakan oleh setiap rakyat Iceland untuk menyemak berapa dekat hubungan persaudaraan mereka dengan mana-mana rakyat Iceland yang lain.

Kebelakangan ini, terdapat syarikat swasta di Iceland yang cuba menangani masalah ini dengan menghasilkan satu app smartphone yang baru. App ini dikenali 'IslendingaApp' dan ia memudahkan carian database genealogi tersebut. Apabila dua fon pintar yang mempunyai app ini ditembungkan bersama, satu carian automatik akan dilakukan untuk menentukan hubungan persaudaraan kedua-dua pemilik fon. Jika mereka mempunyai hubungan keluarga yang amat dekat, alarm akan berbunyi sebagai amaran. Para remaja digalakkan untuk 'tembungkan fon sebelum tembungkan tubuh'.

Begitulah sahaja cerita 'incest' di Iceland ini. Perlu ditekan yang masyarakat Iceland tidak menghalalkan inses bahkan telah berusaha mengekangnya dengan pelbagai teknologi yang berbeza. Akhir sekali, jika terhibur kongsilah cerita ini dengan kawan!