Sunday, August 20, 2017

MESIN ELIPTIKAL (Elliptical Machine)

Review MESIN ELIPTIKAL (Elliptical Machine) dari Lazada.

Dulu, saya gemar berjoging setiap awal pagi selama sejam. Jika hari hujan, saya akan menggunakan mesin treadmill di rumah. Tapi, sejak beberapa tahun lalu, pergelangan kaki kiri saya mulai sakit sendi akibat hentakan bila berlari. Maka saya telah membeli Mesin Eliptikal (Elliptical Machine atau Elliptical Cross Trainer) dari laman Lazada. Jenama mesin yang saya beli ialah OrbiTrek. Inilah rupanya di rumah saya:

Mesin eliptikal berbeza daripada mesin treadmill dalam beberapa cara. Kedua-duanya akan memberikan senaman aerobik tetapi mesin eliptikal akan mengerjakan kumpulan otot yang berbeza daripada treadmill. Walaupun kedua-duanya adalah pilihan yang sangat baik, mereka sememangnya mempunyai kelebihan yang berbeza. Dengan mengetahui perbezaannya, anda boleh menentukan sama ada senaman eliptikal, latihan treadmill atau gabungan kedua-duanya pilihan terbaik untuk anda.

Apabila membandingkan mesin eliptikal dengan mesin treadmill, isu pertama yang dapat diperhatikan ialah mesin eliptikal menghasilkan hentakan yang minimum. Hentakan impak yang rendah ini amat baik untuk orang yang mengalami masalah sendi, lutut, tulang belakang atau pinggul. Iutlah juga sebab utama saya membeli mesin ini. Mesin eliptikal juga mengerjakan bahagian atas dan bawah badan secara serentak yang menjadikan kadar denyutan jantung lebih cepat berbanding dengan treadmill. Mesin eliptikal menyenamkan kaki, belakang, bahu, dada dan lengan anda, menjadikannya suatu senaman yang menyeluruh. Satu lagi ciri hebat mesin eliptikal ialah anda boleh menambah variasi dengan mengayuh ke belakang. Gerakan pedal belakang ini mensasari otot kuadrisep bahagian bawah badan.



Mesin treadmill juga boleh memberi anda senaman aerobik yang sangat baik dan ramai orang yang masih suka menggunakannya berbanding mesin eliptikal. Sekiranya anda lebih suka berlari, berjoging atau berjalan kaki untuk bersenam, ia jelas merupakan pilihan yang lebih bijak. Sekiranya anda baru memulakan senaman atau hanya mahukan senaman intensiti rendah, mesin treadmill mungkin lebih sesuai. Kebanyakan treadmill menawarkan tahap intensiti yang boleh ditukar mengikut tahap kecergasan badan anda. Walaupun ia adalah senaman yang kurang intensif, ia adalah cara yang baik untuk membakar lemak sambil memperbaiki kesihatan kardiovaskular.

Kesimpulannya, jika anda inginkan senaman kardiovaskular yang berkualiti dengan kecekapan maksimum, mesin eliptikal adalah pilihan yang lebih baik. Mesin elips memberikan senaman badan yang komprehensif kerana ia mengerjakan kaki dan juga lengan.

Harga: $399 (dari Lazada)