Ahad lalu, saya telah menghadiri satu himpunan rakan-rakan sekolah lama. Lebih kurang 12 orang kawan lama dari zaman sekolah menengah telah bersetuju untuk berjumpa dan berbual-bual. Melihat kawan-kawan lama setelah sekian lama sangat menriakan hati. Banyak tangan dijabat dan cerita dikongsi. Salah satu cerita yang saya rasa agak menarik ialah pasal pengalaman seorang kawan baik saya yang cuba mencari rezeki dengan memandu uber.
Cerita ini adalah dari kawan baik saya nama Raymond. Mengikutnya, pada pertengahan tahun 2015 dia agak kesempitan wang kerana baru berpindah rumah. Lalu dia mula buat sedikit kajian internet untuk mencari peluang pendapatan sampingan. Pendek cerita, akhirnya dia install apps Uber Partner dan diminta menghadiri taklimat pemandu baru.
Selepas tiga hari dia install apps, Raymond telah pergi ke taklimat itu yang juga dihadiri beberapa pemandu baru lain. Petugas uber terus daftar dan menemubual setiap orang secara individu. Kereta lapuk tidak diterima. Selesai daftar, ada ceramah cara menggunakan apps Uber Partner dan cara menjadi pemandu yang sopan dan profesional.
Pada petang Sabtu berikutnya, setelah pulang dari pejabat, kawan saya mula mencuba rezeki baru ini. Dia memandu ke kawasan yang dia fikir paling banyak request. Dia park berhampiran satu shopping mall. Setelah tunggu kurang dari 10minit, dia sudah dapat request pertama. Petang Sabtu itu, dia berjaya buat 6 perjalanan trip. Hari esoknya tak perlu ke pejabat, jadi dia memandu uber keseluruhan hari Ahad.
Secara keseluruhan untuk pemanduan selama satu hari setengah itu, dia berjaya memperoleh lebih kurang RM350. Ini belum lagi tolak kos petrol. Rata-rata, satu rezeki sampingan yang agak bagus katanya. Tambahan pula, ada sign up reward dari Uber setelah melengkapkan 25 trip pertama sebagai satu bentuk insentif pendaftaran.
Pada peringkat cerita ini, saya pun bertanyakan Raymond sama ada dia masih memandu Uber sekarang. Memandangkan pendapatan daripadanya agak lumayan. Dia tersenyum sinis dan menggelengkan kepala. "Mengapa?", tanya saya. Ada beberapa sebab, katanya.
Pertama sekali ialah faktor keletihan. Memang dia boleh untung sedikit wang saku, tetapi Raymond kena bekerja Isnin sampai Sabtu (separuh hari) sebagai pekerjaan utama beliau. Setelah memandu Uber pada hujung minggu, dia rasa lesu dan tak bertenaga bila tiba ke pejabat. Maklumlah, tak ada peluang untuk "recharge" pada hujung minggu.
Faktor kedua ialah kuasa pasaran dari segi supply dan demand. Bilangan pemandu Uber semakin bertambah kerana semakin ramai yang ingin mencari pendapatan tambahan. Ini bermakna kekerapan request yang diterima Raymond semakin menurun secara beransur-ansur. Kebanyakan masa diluangkan untuk menunggu request tiba. Jadi bilangan trip yang berjaya dilengkapkan setiap hujung minggu semakin berkurang disebabkan saingan dari pemandu Uber lain dan juga pemandu dari Grabcar.
Pada tahun lalu, Raymond akhirnya memutuskan untuk berhenti memandu Uber apabila syarikat itu meningkatkan potongan caj dari 20% kepada 25%. Bagi Raymond, gabungan ketiga-tiga faktor ini telah menjadikan rezeki sampingan ini tidak lagi berbaloi untuk beliau.